PULAU Pangkor. FOTO Arkib NSTP
PULAU Pangkor. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


MINUMAN keras tidak akan dibenarkan dijual di dalam kawasan yang bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) di Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini, kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak membenarkan arak dijual secara bebas cukai di kawasan itu.

“Kerajaan Persekutuan setakat ini menyokong pandangan daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan perkara itu (tidak menjual arak bebas cukai),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 1,000 peserta program Ipoh Car Free Day Fun Run 2019 KPJ di pintu masuk Hospital Pakar KPJ Ipoh, di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar , Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Ahmad Faizal berkata, bagaimanapun kerajaan negeri ketika ini masih lagi mempertimbang sama ada membenarkan rokok bebas cukai dibenarkan dijual di pulau itu.

Sebelum ini media melaporkan, pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai PBC membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta menjadi antara projek berimpak tinggi akan dilaksanakan di Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan negeri perlu membuat kajian segera ke arah melaksanakan usaha itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan peruntukan kira-kira RM5 juta bertujuan memperindah Pulau Pangkor bagi menerima pelancong bermula 1 Januari tahun depan.

“Di samping itu, kita juga sedang serius berbincang dengan Majlis Perbandaran Manjung dengan beberapa pihak yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan bebas cukai untuk membuka premis mereka di Pulau Pangkor.

“Kita berharap bermula awal tahun depan orang ramai sudah mula boleh membeli barangan bebas cukai di pulau berkenaan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 10:28 AM