Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEMPENA Bulan Kesedaran Kanser Payudara Oktober ini, Kumpulan Sunway menerusi Pusat Perubatan Sunway (SMC) tampil memberikan sumbangan RM274,627 kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong berkata, sumbangan yang diterima itu akan disalurkan kepada pesakit kanser payu dara yang memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani rawatan lebih baik.

Menurutnya, sumbangan yang diterima daripada Kumpulan Sunway ini ternyata memberi kelegaan kepada pesakit kanser payu dara yang ada diantaranya memerlukan bantuan.

“Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP berterima kasih kepada Kumpulan Sunway yang menganjurkan larian amal dan dalam masa sama mengumpul dana untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

“Dana menerusi tabung ini juga akan digunakan bagi membantu pengidap penyakit lain mendapatkan rawatan lebih sempurna dan syarikat korporat dialu-alukan untuk tampil menyalurkan bantuan bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan cek sempena Larian ‘Sunway Good Run’ di Petaling Jaya, hari ini.

Cek disampaikan Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Ahli Lembaga

Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor kepada Aishah dan disaksikan Pengarah Urusan Perkhidmatan Kesihatan Kumpulan Sunway Lau Beng Long.

Program larian dwi-tahunan yang dianjurkan sejak 2017 itu berjaya menghimpunkan lebih 7,000 peserta yang mengambil bahagian dalam

beberapa kategori antaranya lima kilometer (km), 10km dan 20km.

Sementara itu, Beng Long berkata, Kumpulan Sunway menerusi SMC sentiasa memberikan sokongan kepada program kemanusiaan dan kebajikan khususnya untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“SMC memiliki fasiliti perubatan terkini dan moden yang mampu memberikan rawatan terbaik termasuk penyakit kanser. Sumbangan yang diberikan hari ini diharap dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:27 PM
LAU (kiri) menyampaikan replika cek kepada Dr Aishah (tiga kiri) sambil disaksikan oleh Tengku Zatashah (empat kiri). FOTO Eizairi Shamsudin