MASZLEE (tengah) menghadiri Program Jom Sekolah 2020 anjuran Yayasan Harapan Pontian. FOTO Bernama
MASZLEE (tengah) menghadiri Program Jom Sekolah 2020 anjuran Yayasan Harapan Pontian. FOTO Bernama
Ibrahim Isa


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan melarang pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah dan institusi pendidikan berdasarkan nasihat Kementerin Dalam Negeri (KDN).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya bertindak atas nasihat KDN kerana menjadi dasar KPM supaya sebarang komik mendapat kelulusan KDN sebelum dibenarkan untuk diedar.

“Kami hanya mengikut nasihat, sebarang komik politik atau propaganda untuk diedarkan di kawasan sekolah kalau boleh melalui KDN, kita berlandaskan ‘Rule of law’.

“Apa-apa hal kena rujuk KDN kerana bahan cetak di bawah bidang kuasa mereka,” katanya selepas merasmikan jom sekolah 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, Pontian, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan 43 pemimpin akar umbi termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang membantah keputusannya melarang pengedaran komik BRI di sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mempertikaikan tindakan Dr Maszlee dan mempersoalkan sama ada beliau dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Umno.

Terdahulu, KPM memutuskan pengedaran komik BLI ditarik semula daripada semua sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara kerana tidak diluluskan.

Dr Maszlee berkata, KPM sentiasa bekejasama dengan KDN kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan Deepavali kepada pelajar India selain mengumumkan bantuan RM70,000 bagi membiayai kos penyelenggaran SMK Teluk Kerang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:03 PM