Zuliaty Zulkiffli


SEBANYAK 29 keluarga di lima kampung di Jitra terpaksa menumpang di rumah jiran dan ahli keluarga berdekatan selepas rumah mereka rosak akibat kejadian ribut atau belalai darat, semalam.

Antara kampung yang terbabit adalah Kampung Sungai Korok (lima keluarga), Kampung Kepala 10 (tujuh keluarga), Kampung Permatang Keriang (empat keluarga), Kampung PIDA 4 Deli (tiga keluarga) dan Kampung Daleh (10 keluarga).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, seramai 30 anggota APM Kubang Pasu terbabit dalam kerja pembersihan di rumah mangsa, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan Kit Permulaan Makanan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua keluarga mangsa terbabit.

“Kita dapati kediaman yang rosak teruk adalah di Kampung Kepala 10 dan Kampung PIDA 4 Deli.

“Kebanyakan mereka menumpang sementara di rumah jiran berhampiran dan setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya pada sidang media, di Kampung PIDA 4 Deli, di sini hari ini.

Kamalruzamal berkata, pihaknya percaya berkemungkinan ada lagi kediaman yang terbabit dalam kejadian itu semalam.

Beliau menasihatkan mangsa berkenaan supaya membuat laporan polis atau kepada penghulu masing-masing untuk memudahkan bantuan dilakukan.

“Kawasan yang berlaku semalam tidak pernah berlaku kejadian ribut atau puting beliung.

“Bagaimanapun kita sentiasa bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan sekiranya berlaku kejadian sama,” katanya.

Dalam kejadian 4 petang semalam, ribut dan puting beliung berlaku tidak sampai lima minit menyebabkan sebahagian rumah di beberapa kampung ranap dan atap zinknya diterbangkan angin.

Berikutan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra melawat kawasan berkenaan dan menyampaikan sumbangan awal kepada semua mangsa yang terbabit, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 1:14 PM
ANGGOTA APM Kubang Pasu membersihkan kawasan rumah penduduk di Kampung Pida 4 Deli yang rosak dalam kejadian ribut. FOTO Zuliaty Zulkiffli