IKAN paus yang muncil berhampiran Pelantar Minyak Dulang, Julai lalu. FOTO ihsan pembaca

KEMUNCULAN paus pembunuh atau orca tidak mengancam sumber perikanan negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini kerana migrasi spesies ini tidak kerap dan bukan dalam populasi signifikan.

Beliau berkata, paus berkenaan adalah spesies terbesar dalam keluarga ikan lumba-lumba dan kebiasaannya ditemui di kawasan dingin seperti Lautan Artik.

Katanya, paus spesies ini adalah pemangsa dalam rantaian pemakanan ekosistem lautan dan kebiasaannya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu dan burung laut.

“Paus Orca disenaraikan dalam spesies mamalia akuatik terancam dan dilindungi bawah penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985.

“Seekor paus spesies ini pernah direkodkan mati terdampar di Sarawak pada 2013,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed (Pas-Kuala Terengganu) berkenaan paus pembunuh itu sama ada ia mengancam sumber perikanan negara.

Media melaporkan, sepasang paus pembunuh muncul berdekatan pelantar minyak Dulang, kira-kira 170 kilometer dari pantai Kerteh.

Salahuddin berkata, berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, spesies yang muncul di perairan Terengganu pada 16 Julai lalu itu, dikenal pasti daripada sub-spesies Paus Pilot Sirip Pendek.

“Spesies itu sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi yang banyak antara 10 hingga 50 ekor dan dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi ekoran musim sotong ketika itu,” katanya.

Kepada soalan tambahan Ahmad Amzad berkaitan ketirisan sumber perikanan negara dan anggaran kerugian disebabkan ancaman pencerorohonan nelayan asing, Salahuddin berkata, pihaknya telah mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan nelayan Vietnam dan kapal asing.

“Anggaran ketirisan, nilai yang hilang lebih kurang RM5 bilion setahun. Dengan itu kita mesti bertanggungjawanb supaya aset ditingkatkan, penguatkuasaan ditingkatkan lagi,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Jaga-jaga... paus pembunuh berbahaya
  • Paus pembunuh muncul di perairan Terengganu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 2:25 PM