MUHAMAD Zikril (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barangan yang akan dilupuskan. FOTO Ihsan KPDNHEP Selangor.
Nur Lela Zulkipli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan tiruan yang menggunakan jenama antarabangsa bernilai RM2.46 juta.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, nilai rampasan itu membabitkan 173 kes sejak Januari 2019 sehingga Oktober lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut beberapa akta antaranya Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Program pelupusan kali ke-10 yang dilakukan, tahun ini membabitkan 12 kes dengan nilai mencecah RM442,643.

“Kesemua kes terbabit sudah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan atau pengawal akta yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program pelupusan barang kes itu dilaksanakan di stor penyimpanan ekshibit Selangor di Bukit Raja, Klang dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, Azizan Abdullah.

Muhamad Zikril Azan berkata, antara barang tiruan yang dilupuskan adalah beg tangan, dompet, tali pinggang, kasut, selipar, jersi, jam tangan, arak dan lain-lain.

Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana peniaga untuk tidak terbabit menjual barangan tiruan sekiranya enggan dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, pengguna juga dinasihat untuk tidak membeli barang tiruan kerana selain produk yang kurang berkualiti, ia juga sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 3:33 PM