Skip this ad x
MOHD Azizi (dua dari kiri) bersembang dengan sebahagian kakitangan PKNS yang terbabit dalam kemalangan di Turki. Gambar kecil, arwah Azalan. FOTO Saddam Yusoff
Nur Lela Zulkipli


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain menyifatkan pemergian kakitangannya, Azalan Miswan, 50, dalam kemalangan di Turki minggu lalu sebagai kehilangan besar bagi syarikat berkenaan.

Allahyarham Azalan yang juga Eksekutif Jualan Hartanah PKNS dianggap sebagai ‘role model’ kepada kakitangan syarikat itu berikutan sikapnya yang suka membantu dan komited dalam pekerjaannya sejak dulu lagi.

“Saya dimaklumkan bahawa arwah Azalan antara pekerja yang banyak menyumbang kepada keuntungan syarikat dari segi penjualan hartanah.

“Arwah juga dikatakan suka membantu pembeli hartanah dari awal hingga akhir proses permohonan pinjaman kerana mahu melihat lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri. Tidak kira berapa pun harga rumah itu.

“Ia satu kehilangan yang besar buat PKNS kerana pekerja sebegini yang kita mahukan dalam organisasi. Apabila saya mengetahui arwah terkorban, ia memberi kesan mendalam kepada kakitangan dan juga syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menyambut ketibaan 27 kakitangan PKNS yang terselamat dalam kemalangan di Turki pada 16 Oktober lalu.

Menurut Mohd Azizi, pihaknya akan menguruskan bantuan kewangan kepada keluarga arwah Azalan melalui persatuan pekerja perbadanan berkenaan.

“Kita memang ada peruntukan khas untuk keluarga kakitangan PKNS sekiranya terdapat kematian dan kita akan uruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, kakitangannya yang terbabit dalam kemalangan itu diberi tempoh berehat sehingga betul-betul pulih daripada kemalangan berkenaan.

“Saya mahu semua yang terbabit dalam kemalangan itu pulih sepenuhnya. Tidak perlu fikir mengenai kerja sekarang, ramai yang boleh bantu.

“Apa yang penting semua pulih daripada kecederaan fizikal dan juga mental. Saya tahu ramai yang masih trauma dan mereka perlukan rehat yang cukup,” katanya.

Berita berkaitan

Kemalangan Turki: Kakitangan PKNS selamat tiba di tanah air

Kerajaan, hospital Turki beri kerjasama

'Wisma Putra banyak bantu'

Allahyarham Azalan selamat dikebumikan

Jenazah Azalan akan dibawa pulang

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] 'Saya doakan mereka selamat'

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera, nahas bas di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 7:32 PM