Nurkhuzaini (dua dari kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu Shaharuddin Mohd Kia (kiri) memeriksa harga barang kawalan selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di sebuah pasar raya di Gong Badak, Kuala Nerus hari ini. Foto Rozainah Zakaria
Norizuan Shamsuddin


PIHAK berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan termasuk melakukan tangkapan terhadap penjaja jalanan yang menjalankan perniagaan di persimpangan lampu isyarat di Terengganu selepas 31 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua penjaja jalanan bagi memberi peringatan mengenai perkara berkenaan sebelum akhir bulan ini.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini sudah memberi kelonggaran apabila tidak mengenakan tindakan terhadap penjaja jalanan selama dua bulan sehingga tarikh berkenaan.

“Kita sudah bagi satu tempoh masa yang agak selesa untuk mereka (penjaja jalanan) tidak dikenakan tindakan dan kita harap mereka tidak melanggar batas.

“Selepas tarikh itu, PBT akan turun padang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing seperti mengenakan kompaun, merampas barangan dan melakukan tangkapan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan Peraturan Lalu Lintas 1959 yang tidak membenarkan penjaja menjalankan perniagaan di jalan raya selain untuk memastikan keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya.

Katanya, kedua-dua pihak sudah melakukan perbincangan sebelum ini berhubung perkara itu dan pelbagai isu yang dikemukakan sudah diselesaikan dengan baik termasuk mengenai isu tindakan penguatkuasaan yang menyekat rezeki penjaja.

“Tidak timbul isu menyekat rezeki mereka kerana kedua-dua pihak sudah bersetuju hasil perbincangan itu, jadi isu itu tidak berbangkit lagi apabila sudah di hujung-hujung (pelaksanaan penguatkuasaan).

“Tidak dinafikan sehingga kini masih ada yang melakukan kegiatan itu tetapi kita masih bersangka baik dengan menganggap mereka sedang menghabiskan stok berikutan ada peniaga yang mengambil stok (barangan jualan) terlalu banyak.

“Itu adalah antara isu yang dibangkitkan sebelum ini dan hasil perbincangan kita bagi tempoh dua bulan untuk habiskan stok yang ada,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengeluarkan larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat berkuat kuasa serta-merta di negeri itu bagai mengelak daripada risiko kemalangan.

Bagaimanapun, perkara itu ditangguhkan buat sementara bagi memberi peluang kepada pengusaha untuk menghabiskan bekalan produk selain menunggu jawatankuasa khas yang ditubuhkan mencari kaedah penyelesaian masalah dihadapi penjaja jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 8:18 PM