GAMBAR hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


LELAKI yang memaki hamun polis dan menuduh anggota keselamatan itu mengambil rasuah akan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, esok.

Sebelum itu, suspek berusia 42 tahun itu yang ditahan pada 19 Oktober lalu, direman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan, jika disabit kesalahan.

“Anggota yang melakukan rondaan di Persiaran MPAJ Pandan Indah menahannya pada 3.50 pagi (19 Oktober) selepas melihat suspek bersama wanita Vietnam dalam kereta Proton Persona, mencurigakan.

“Bagi menjalankan siasatan lanjut, mereka dibawa ke Balai Polis Pandan Indah, namun sebaik tiba, dia terus meninggikan suara dan berkata kesat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

“Namun disebabkan berkata kesat kepada anggota bertugas, dia disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 8:25 PM