Ikhwan (kiri) hadir sebagai saksi bicara kes Mohd Isa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Muhd Zaaba Zakeria
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu oleh bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel bahawa beliau terpaksa akur dengan permintaan bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad yang memerlukan dana politik.

Ikhwan, 59, menerusi penyataan saksi berkata, beliau berjumpa dengan pegawai khas kepada Mohd Isa iaitu Muhammad Zahid Md Arip untuk memaklumkan berhubung wang diminta oleh lelaki itu.

“Saya dan Ibrahim Baki (seorang ahli lembaga pengarah GAPSB) tidak ada pilihan dan akur untuk memberi setakat RM3 juta atas tujuan ‘political fund’ seperti yang diberitahu oleh beliau.

“Pemberian RM3 juta kepada Mohd Isa melalui Muhammad Zahid tidak dimaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB lain dan hanya saya serta Ibrahim saja yang tahu.

“Muhammad Zahid bersetuju dengan jumlah yang saya maklumkan kepadanya.

“Bagaimanapun, saya tidak menyerahkan apa-apa wang kepada beliau.

“Saya turut memaklumkan bayaran kepada Mohd Isa melalui Muhammad Zahid akan dibuat apabila FICSB mula membuat bayaran kepada GAPSB selepas pembelian MPHS (Merdeka Palace Hotel & Suites),” katanya.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata demikian pada hari kesembilan perbicaraan terhadap Mohd Isa berhubung kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya.

Melalui penyataan saksinya juga, Ikhwan berkata, beliau dan Ibrahim risau mengenai pengaruh Mohd Isa sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.

“Terdapat kemungkinan Mohd Isa melengahkan pembayaran kepada GAPSB atau membatalkan urusniaga pembelian MPHS seperti sebelum ini,” katanya.

Ikhwan berkata, pada Mei 2014, Muhammad Zahid memaklumkan kepadanya mengenai keperluan dana itu.

“Saya sering datang ke sini untuk menyertai perbincangan antara GAPSB dan FICSB untuk memuktamadkan penyediaan perjanjian jual beli MPHS.

“Dalam tempoh itu, saya beberapa kali berjumpa dengan Muhammad Zahid dan dia maklumkan pada saya Mohd Isa adalah individu politik memerlukan dana.

“Saya agak terkejut namun hanya maklum akan pertimbangkan perkara itu. Muhammad Zahid tidak nyatakan jumlah dana diperlukan,” katanya.

Dalam prosiding sama, Ikhwan turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ada pilihan dan akur dengan permintaan mereka atas penjualan MPHS kerana GAPSB perlu jual saham bagi melupuskan hutang dan menerusi pemahaman beliau, Mohd Isa meminta suapan melalui Muhammad Zahid untuk kegunaannya sendiri.

“Permintaan wang untuk dana politik adalah alasan kerana jika benar Mohd Isa memerlukan dana beliau boleh minta terus dari saya dalam dua perjumpaan sebelum ini,” katanya.

Saksi itu berkata, beliau bertemu dengan Mohd Isa sebanyak dua kali di pejabatnya di Menara FELDA.

Perbicaraan itu berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 8:51 PM