Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


SEORANG saksi mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimaklumkan berhubung perjanjian pinjaman AS$700 juta (RM2.93 bilion) yang ditandatangani syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrol memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Muhammad Shafee merujuk kepada saksi kesembilan itu terhadap surat perjanjian yang ditandatangani antara syarikat usaha sama, 1MDB-PetroSaudi Limited dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited.

Dalam keterangan sebelum ini, walaupun perjanjian dibuat kepada dua entiti itu tetapi pembayaran wang AS$700 juta itu dimasukkan ke dalam syarikat Good Star Limited yang didakwa milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Berikutan itu, 1MDB terpaksa menanggung hutang AS$700 juta itu yang dipersoalkan oleh Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu kerana tidak membuat terus kepada syarikat usaha sama berkenaan.

SHAFEE: Setuju saya katakan sebenarnya tidak tepat untuk mengatakan bahawa ini adalah perjanjian pinjaman antara 1MDB dengan PSI. Ini sebenarnya perjanjian pembelian PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited?

SHAHROL: Saya tiada komen.

SHAFEE: Setuju dengan saya Ahli Lembaga Pengarah tidak tahu bahawa perjanjian ini dibuat sebelum perjanjian usaha sama ditandatangani?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Setuju saya cadangkan bahawa jika perjanjian pinjaman ini ditunjukkan kepada Ahli Lembaga Pengarah terlebih dahulu, mereka tidak akan bersetuju.

SHAHROL: Ya, setuju.

SHAFEE: Dalam perjanjian ini juga tidak dinyatakan berhubung pinjaman ini?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Jika perkara ini dibawa ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah, ia mungkin dapat menyelamatkan wang itu?

SHAHROL: Ya ada kemungkinan.

SHAFEE: Dan ada kemungkinan 1MDB tidak akan mengalami kerugian sebanyak itu?

SHAHROL: Ya setuju

Sementara itu, ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, Shahrol mendakwa beliau ada bertemu dengan Najib dan bertanya berhubung pengambilan semula wang AS$700 juta.

SHAFEE: Ada kamu bertanya kepada Najib berhubung perkara ini?

SHAHROL: Antara 2011 ke 2012, tidak ingat tarikh yang tepat, saya ada bertemu dan berdiri di sebelah Najib ketika satu program CSR (tanggungjawan sosial korporat). Ketika itu saya berpeluang untuk bertanya berhubung bagaimana mahu mendapatkan semula wang AS$700 juta itu. Najib ketika itu menyuruh saya bertanya kepada Jho Low.

Terdahulu, Shahrol mengakui bahawa beliau tidak ‘busybody’ (mengambil tahu) perkara lain selain kerja membabitkan dirinya.

SHAFEE: Apabila kamu kata projek ini adalah sesuatu yang Najib mahu, bukankah beliau mahu usaha sama ini berjaya?

SHAHROL: Saya tidak tahu itu kerana kita bekerja secara ‘silo’ (sulit dan hanya mengetahui kerja sendiri sahaja). Apabila Jho Low meminta saya membuatnya dalam tempoh tertentu dan membuat orang Arab ini gembira adalah penting, saya bersangka baik bahawa ini adalah peranan yang patut saya dan 1MDB buat. Sebagai contoh, saya buat satu bahagian dan pihak lain buat selebihnya. Ketika itu saya percaya tanggungjawab untuk membahagikan kerja diberikan oleh Najib kepada Jho Low. Ia adalah supaya Najib tidak perlu bimbang dengan perkara lain.

SHAFEE: Setuju saya cadangkan bahawa Najib sendiri tidak tahu perkara sebenar?

SHAHROL: Saya tidak boleh memberi keterangan berhubung apa yang Najib tahu atau tidak. Ia bukan di bawah ‘silo’ saya.

SHAFEE: Adakah kamu dilarang untuk pergi melebihi ‘silo’ kamu?

SHAHROL:Tidak secara terus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:00 PM
SHAHROL Azral hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria