ARWAH Azalan. FOTO Arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli


“SAYA kehilangan bapa dan sahabat. Sejak saya bekerja di sini lima tahun lalu, arwah banyak mengajar saya erti kehidupan.”

Itu kata Pegawai Undang-undang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ahmad Hazim Ramli, 31, apabila sukar menerima hakikat bahawa insan yang tidak putus memberinya nasihat hidup, Azalan Miswan, 50, sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Pada hari kejadian, saya berada di rumah dan melihat berita kemalangan di Turki membabitkan kakitangan PKNS dan seorang maut iaitu arwah Azalan.

“Saya tidak percaya yang maut itu adalah arwah kerana ejaan nama yang lain, namun semuanya terjawab apabila ramai rakan kerja menghubungi saya supaya bersabar menghadapi kehilangan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahmad Hazim berkata, kakitangan PKNS lain juga kagum dengan arwah yang sentiasa aktif dalam sukan sepak takraw dan bola tampar, biarpun sudah berusia.

“Di sini, kami ada pasukan sepak takraw yang diberi nama ‘Anak-anak Azalan’. Ini kerana mereka sendiri mendapat latihan daripada Azalan yang aktif bersukan.

“Banyak perkara saya akan rindukan mengenai arwah yang juga tidak kedekut dan sering belanja sesiapa yang makan bersamanya.

“Saya terpaksa berpura-pura bangun untuk membayar bil makanan, kerana arwah tidak membenarkan orang lain membayarnya,” katanya.


AHMAD Hazim. FOTO Saddam Yusoff

Katanya, kali terakhir dia berjumpa Azalan adalah pada 12 Oktober lalu pada hari sama arwah berangkat ke Turki bersama 33 lagi peserta rombongan.

“Arwah sempat belanja saya minum dan minta saya doakan perjalanannya ke Turki selamat. Namun, saya tidak menyangka itu kali terakhir saya dapat berjumpa arwah.

“Dia umpama bapa dan sahabat kepada saya. Tidak mungkin saya boleh berjumpa dengan orang seperti arwah lagi selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian 16 Oktober lalu kira-kira 11.35 pagi waktu tempatan, arwah Azalan yang juga Eksekutif Jualan Hartanah PKNS maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Berita berkaitan

Kemalangan Turki: Azalan 'role model' PKNS

Kerajaan, hospital Turki beri kerjasama

Kerajaan, hospital Turki beri kerjasama

'Wisma Putra banyak bantu'

Allahyarham Azalan selamat dikebumikan

Jenazah Azalan akan dibawa pulang

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] 'Saya doakan mereka selamat'

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera, nahas bas di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:53 PM