FOOD bank di salah sebuah universiti tempatan (Gambar Hiasan). FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam ke-19 yang mempunyai ‘Food Bank’ khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif Food Bank Siswa bertujuan untuk menyalurkan bantuan lebihan makanan kepada penuntut yang memerlukan.

“Seramai 1,000 penuntut akan menerima faedah daripada Food Bank Siswa UiTM ini dan menjadikan penerima keseluruhan setakat ini seramai 7,500 penuntut.

“Senarai pelajar yang layak menerima bantuan daripada program ini dipilih oleh universiti sendiri, berdasarkan rekod pelajar yang mereka ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Rostam Affendi Datuk Salleh dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Azizan Abdullah.

Saifuddin berkata, sebagai permulaan, perlaksanaan Food Bank Siswa UiTM mendapat tajaan daripada empat syarikat iaitu Tesco Store (Malaysia) Sdn Bhd; 99 Speedmart Sdn Bhd; Nestle (Malaysia) Berhad dan Kumpulan Legasi Z Sufi.

Katanya, program itu akan menggunakan konsep Food Pantry dan akan dikendalikan oleh Krew Food Bank Siswa UiTM.

Beliau berkata lagi, program yang sama juga sudah dimulakan di 18 universiti awam lain iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan lain-lain.

“Pada tahun hadapan, kita akan memberi nilai tambah kepada program ini dari segi pelaksanaan, pengurusan serta meluaskan sasaran penerima.

“Justeru, saya meletakkan target untuk mengembangkan program ini ke 123 institusi iaitu Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS); Politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, inisiatif pelaksanaan program yang berkonsepkan dari penuntut kepada penuntut itu mendorong pembabitkan golongan itu sebagai sukarelawan yang berperanan membantu rakan mereka yang kesusahan.

“Program Food Bank Siswa ini akan diuruskan sendiri oleh penuntut dengan setiap kolej kediaman akan mempunyai wakil mereka sendiri.

“Terima kasih kepada Yayasan Food Bank Malaysia bawah KPDNHEP kerana mengambil inisiatif mewujudkan Food Bank Siswa ini dan diharapkan ia akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 1:26 AM