DZULKHAIRI (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek kes yang dicari.

JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki yang disyaki menetak hingga mati seorang pemuda berusia 20 tahun di padang permainan kanak-kanak Jalan Meranti 13, Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai di sini, 10 Ogos lalu, kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tujuh lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun itu antara 18 suspek disyaki terbabit dalam kejadian bunuh berkenaan.

“Kami sudah menahan 11 lelaki berusia antara 17 hingga 32 tahun di beberapa kawasan sekitar Johor dan Selangor.

“Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan kes bunuh itu. Bagaimanapun tujuh lagi suspek diburu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi, mangsa bersama tiga rakannya minum minuman keras di padang permainan kanak-kanak itu.

Keempat-empat mereka kemudian didatangi dan diserang sekumpulan lelaki menaiki beberapa kereta dan bersenjatakan parang.

Tiga rakan mangsa melarikan diri manakala mangsa yang tidak sempat mengelak ditetak di bahagian badan dengan parang sehingga parah dan maut di tempat kejadian.

Menurut Dzulkhairi, kejadian iti dipercayai bermotifkan dendam.

Katanya, hasil semakan, tujuh daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada suspek positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:01 AM