ZAMRI (kanan) menziarahi keluarga Zarina (tengah). FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“ARWAH beritahu yang mungkin mereka tak sempat balik apabila nampak cuaca bertukar mendung dan gelap tapi dia tetap ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bersama Muhammad Haziq yang berusia tujuh.

“Namun, 2.15 petang Jumaat lalu, saya menerima berita yang suami dan anak terjatuh di tengah bendang oleh jiran tetapi tak dimaklumkan keadaan mereka ketika itu,” kata Zarina Sulaiman, 36.

Zarina yang juga guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Taman Uda, Jalan Sultanah, Alor Setar, berkata, dia terkejut apabila kali kedua dimaklumkan suaminya, Norhafizan Mohd Soleh, 39, sudah meninggal dunia manakala anaknya melecur di muka dan kaki kanan akibat disambar petir.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Hujung Alor, dekat sini selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

“Saya reda dengan pemergian suami, namun berharap Muhamad Haziq yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sembuh sepenuhnya walaupun masih ada kesan lebam pada badannya.

“Kesan melecur pada muka dan kaki kanannya itu agak teruk dan saya harap dia kembali pulih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hujung Alor, Alor Merah, Alor setar, semalam.

“Memang kilat agak kuat hari itu tetapi tak sangka pula suami dan anak menjadi mangsa hinggakan meragut nyawa suami,” katanya yang mempunyai dua anak, Nurul Huda Norhafizan, 9, dan Nurul Hazirah, 5.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof menziarahi keluarga Allahyarham Norhafizan, semalam.

Beliau turut menyampaikan sumbangan dari Pejabat DUN Suka Menanti untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Saya sudah berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Kedah yang bersetuju untuk membantu memberi sumbangan setiap anak arwah yang masih kecil selama 12 bulan.

“Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap keluarganya tabah,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Pesawah maut, anak cedera disambar petir
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:21 AM