GAMBAR hiasan
BERNAMA

SERAMAI 195 orang termasuk empat bayi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir melanda rumah mereka berikutan hujan lebat lebih enam jam di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa banjir yang terdiri daripada 46 keluarga itu dipindahkan bermula 7 malam tadi hingga 3 pagi ini.

“Pusat pemindahan Dewan Perda Timur yang paling awal dibuka iaitu 7 malam menempatkan dua keluarga dari Kampung Permatang Rawa membabitkan 11 orang termasuk seorang bayi lelaki berusia 57 hari,” katanya di Bukit Mertajan, hari ini.

Katanya 22 mangsa banjir termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Bukit Teh manakala 66 orang daripada 15 keluarga dipindahkan ke PPS Surau Kampung Pisang.

Menurutnya, sebuah lagi PPS iaitu di Kampung Permatang Tok Suboh telah menempatkan seramai 96 orang termasuk dua bayi perempuan daripada 25 keluarga.

Phee berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan dalam tempoh segera.

“Setakat ini keadaan terkawal dan mangsa banjir termasuk 51 orang kanak-kanak itu telah dipindahkan ke pusat pemindahan serta berada dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya rumah dan kawasan mangsa banjir dinaiki air antara 0.3 meter dan 0.75 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lima jalan raya di daerah itu yang ditutup kepada semua jenis kenderaan semalam berikutan dinaiki air antara 0.1 meter hingga 0.45 meter telah mula dibuka secara berperingkat sejak 4 pagi ini.

“Jalan yang terlibat ialah Jalan Tembikai, Jalan Kulim, Jalan Kebun Sireh, Jalan Permatang Tok Subuh dan Jalan Perindustrian Bukit Minyak. Polis turut membuat pemantauan serta menjaga kawasan terjejas banjir bagi memastikan tidak berlaku sebarang jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:38 AM