GAMBAR hiasan
Mohd Aizat Shamsuddin


MURID putus kaki kanan apabila motosikal diboncengnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan 7.30 malam itu berlaku apabila pemandu Toyota Vios dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil cuba memotong Proton Wira sebelum bertembung motosikal dari arah bertentangan dibonceng mangsa.

Katanya, akibat perlanggaran itu, Samri dan pembonceng, Muhammad Zulhaikal Mohamad, 12, parah manakala anak Samri, Nur Farahiya Najwa Samri, 10, cedera.

“Samri patah kaki kanan manakala Muhammad Zulhaikal putus kaki kanan dan Nur Farahiya mengalami cedera ringan. Pemandu Toyota Vios tidak mengalami kecederaan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” katanya.

Mohd Adli berkata, 50 meter dari lokasi kejadian kemalangan, sebuah kereta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama empat anggota sedang menjalankan pemeriksaan dan menahan tiga lori.

“Kehadiran anggota JPJ di lokasi tiada kaitan dengan kejadian terbabit namun polis masih menunggu laporan kes daripada JPJ,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:02 AM