X
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HANYA riak wajah bersahaja dipamerkan seorang tertuduh sebaik Mahkamah Tinggi Temerloh, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh rakannya dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Rosli Naqur Gani, 37, yang memakai baju lokap berwarna ungu tidak mempamerkan sebarang reaksi, sebaliknya kelihatan tenang.

Hakim Datuk Hassan Abd Ghani dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan disabitkan dengan kesalahan itu.

Sebanyak 14 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan.

Tertuduh didakwa membunuh rakan serumahnya, R Devadas, 60, di rumah tidak bernombor di Chuan Leng Rubber Estate, Belengu Halt, Mentakab pada 17 April 2017 antara jam 1.50 pagi hingga 11.20 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Kejadian berpunca daripada tindakan tertuduh menegur mangsa yang dikatakan memasak secara tidak bersih dan tidak sedap.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Aedi Tajudin.

Terdahulu dalam rayuannya, pihak pembelaan memaklumkan tertuduh mempunyai empat anak di Ipoh, Perak.

“Tertuduh baru tiga minggu bekerja sebagai pekerja ladang di estet berkenaan sebelum kejadian dengan pendapatan RM30 sehari.

“Tertuduh sudah menyesal dengan perbuatannya dan memohon maaf kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, Chin How memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan.

“Mangsa dipukul pada waktu petang dan malam menggunakan bongkah kayu dan sabit sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah dan mengalami pendarahan, justeru itu saya memohon hukuman berat dikenakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 12:46 PM
MOHAMAD Rosli (tengah) dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh rakan serumahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
MOHAMAD Rosli (tengah) dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh rakan serumahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Kabinet Malaysia 2020