ANGGOTA bomba memberi bantuan kepada lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Peel, Kuala Lumpur, 8.40 pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Azam Shah Yaacob


CUBAAN seorang lelaki membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima bangunan di Jalan Peel, Kuala Lumpur, tidak berhasil apabila terjatuh dalam rimbunan pokok hiasan.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, lelaki berkenaan hanya cedera selepas terjatuh dalam rimbunan pokok berkenaan dan sebahagian kakinya terbenam dalam tanah.

Komander Operasi Mohd Razi Mohd Zain berkata, bomba mengerahkan satu unit jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), jentera Turn Table Ladder (TTL) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan 13 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 8.42 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pasukan bomba menemui seorang lelaki berusia sekitar 40-an dalam rimbunan pokok hiasan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Lelaki itu pada mulanya tidak memberi sebarang tindak balas dan hanya sedar selepas beberapa minit ketika usaha menyelamat dijalankan.

“Bagaimanapun, lelaki itu tidak memberi kerjasama dan menjerit serta meracau sebelum berjaya diselamatkan selepas 15 minit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu yang dipercayai kurang siuman kemudian dibawa oleh unit EMRS ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapat rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:23 PM