KUA (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa.
Sarah Zulkifli


TINDAKAN jurujual berkata kesat kepada anggota polis, membawa padah apabila didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Kua Kok Keong, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Koperal Nurul Afezi Md Akhir di Balai Polis Pandan Indah, Ampang pada 3.50 pagi, 19 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran untuk memberi kesedaran kepada tertuduh dan orang awam.

Bagaimanapun, Kua yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung dua anak, isteri dan ibu yang uzur.

“Saya insaf selepas ditahan reman selama tiga hari. Saya menyesal dengan perbuatan saya. Saya mohon maaf,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian itu, sepasukan anggota Balai Polis Pandan Indah yang melakukan tugas rondaan cegah jenayah di Jalan Persiaran MPAJ Pandan Indah melihat tertuduh dan wanita Vietnam dalam kereta Proton Persona hitam dalam keadaan mencurigakan.

Kedua-duanya ditahan dan polis melakukan pemeriksaan butir diri dan seterusnya kedua-dua individu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut.

Namun, sebaik tiba di balai, tertuduh secara tiba-tiba meninggikan suaranya dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:51 PM