Kecederaan dialami mangsa selepas ditikam di belakang badan oleh seorang lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Hadzlihady Hassan


BELUM sempat buang air kecil, pemandu teksi ditikam di belakang badan ketika berada dalam tandas awam belakang medan selera Bukit Bendera, Georgetown semalam.

Mangsa yang juga lelaki warga emas berusia 65 tahun ketika itu hanya mampu menjerit meminta tolong dan bergelut dengan penjenayah yang cuba merampas beg pinggang miliknya.

Dengan kudrat yang ada, mangsa berjaya membuatkan pisau dipegang lelaki itu terlepas daripada genggaman ketika mereka bergelut dan penjenayah terus melarikan diri kerana bimbang dicekup selepas mangsa menjerit meminta tolong.

Menurut sumber, kejadian berlaku 6 petang dan mangsa ketika itu mahu membuang air kecil sebelum dia dihampiri lelaki yang meluru masuk secara tiba-tiba dalam tandas awam itu dan terus menikam belakang badannya.

“Berlaku pergelutan antara mereka berdua dan suspek ketika itu cuba merampas beg pinggang milik pemandu teksi berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki warga emas itu tetap melawan hingga suspek melarikan diri selepas pisau dipegangnya terlepas daripada genggaman,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan berhampiran tulang belakang badannya itu kemudian dibantu orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Hasil keterangan saksi yang juga pekerja wanita di restoran berhampiran, dia mendakwa mendengar jeritan meminta tolong dari tandas sebelum melihat suspek berlari keluar.

“Pekerja itu mendakwa dia melihat mangsa turut keluar dari tandas dan memberitahu dia ditikam sebelum ditenangkan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dan pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek berbaju hitam serta memakai jeans pendek terus berlari keluar dan dia kini diburu polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:33 PM