Munir (tengah) menunjukkan udang putih super intensif di FRI Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Perikanan berusaha menarik minat belia tempatan terbabit dalam industri perikanan laut dalam.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, langkah itu diambil selepas mendapati penyertaan golongan berkenaan dalam industri itu terlalu sedikit ketika ini.

“Jabatan sedang melihat bagaimana meningkatkan pembabitan nelayan tempatan khususnya golongan belia B40 dalam industri perikanan laut dalam.

“Pelbagai program dilaksanakan termasuk menganjurkan kursus dan hebahan supaya golongan belia menyertai dan industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejayaan Penyelidikan Ternakan Udang Putih Super Insentif di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Gelang Patah hari ini.

Katanya, golongan belia perlu mengambil bahagian dalam sektor perniagaan baharu bagi menggantikan nelayan sedia ada yang semakin berusia.

“Kebanyakan nelayan laut dalam berusia 40 tahun ke atas dan perlu bagi negara menyediakan generasi pelapis untuk menerokai kawasan laut dalam.

“Usaha itu termasuk menyediakan tempat latihan bagi membolehkan golongan belia menceburi sektor itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 800 pengusaha bot laut dalam di seluruh negara ketika ini.

“Setiap bot itu mempunyai 30 kru bagi satu-satu masa malangnya seratus peratus bot laut dalam diusahakan pekerja asing atau kru bukan warganegara.

“Ada kru dibayar gaji RM1,000 dan tekong mencecah RM20,000 bergantung jumlah hasil diperolehi,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, kolaborasi antara kementerian menerusi Ops Naga berjaya menahan 127 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

“Kerjasama ini akan diperluaskan bagi memastikan aktiviti pencerobohan ini dapat dikekang atau dikurangkan.

“Hari ini bot nelayan asing yang menceroboh perairan menurun secara drastik hasil kerjasama pelbagai pihak bagi mengurangkan ketirisan dan kerugian sumber perikanan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:49 PM