PPM Pelabuhan Klang menemui rokok seludup dalam sebuah SUV di USJ, Subang Jaya. FOTO IHSAN PPM
Nur Lela Zulkipli


PASUKAN Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM214,077 dalam serbuan di sebuah rumah di USJ, Subang Jaya, semalam.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kegiatan itu berjaya dikesan menerusi operasi jam 9.30 pagi.

Katanya, sepasukan anggota mengesan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier sebelum mengekorinya dari Banting sehingga ke perumahan di USJ.

“Pasukan serbuan pada mulanya kehilangan jejak kenderaan yang disyaki berada dalam kawasan perumahan itu.

“Namun, usaha mengesan kenderaan itu berjaya apabila pasukan serbuan menjumpainya diletakkan di dalam pagar sebuah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di Klang, hari ini.

Rosman berkata, siasatan lanjut membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok dalam kereta berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan dalam rumah berkenaan turut menemui sejumlah rokok tidak sah diletakkan di ruang tamu.

“Kemudiannya, kita mendapati pintu dapur rumah terbuka dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya.

Kenderaan digunakan turut dirampas dan dianggarkan bernilai RM45,000.

Kenderaan dan rokok dirampas seterusnya dibawa ke Markas Operasi PPM Klang bagi tindakan lanjut dibawa Akta Kastam 1967.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi daripada semasa ke semasa bagi menangani kegiatan penyeludupan di perairan negara.

Masyarakat diminta untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat dengan pelakuan yang melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 3:55 PM