Keadaan banjir di Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Minyak. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


SEJUMLAH 32 tan sisa sampah dikutip Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di 10 rumah pam sekitar Bukit Mertajam berikutan banjir kilat semalam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya menjalankan kerja pembersihan sisa sampah di rumah pam untuk membantu menyelesaikan masalah banjir itu.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila kakitangannya terpaksa mengambil tempoh masa sembilan jam bermula dari 7 malam tadi hingga 4 pagi untuk membersihkan sisa sampah.

“Seramai 456 kakitangan MBSP turun ke 10 rumah pam di kawasan terbabit banjir bagi menjalankan kerja pembersihan membabitkan 19 kenderaan.

“Bayangkan dalam tempoh sembilan jam bekerja sejumlah 32 tan sampah dikutip dan ia mengejutkan,” katanya pada sidang media bersama beberapa pemimpin tempatan berhubung isu banjir hari ini.

Menurutnya, sisa sampah itu masuk ke saliran rumah pam akibat sikap individu yang tidak peduli mengenai penjagaan alam sekitar.

“Pada musim ini taburan hujan sangat tinggi selain fenomena air laut pasang yang menyebabkan banjir kilat mudah berlaku.

“Sikap individu yang membuang sampah di tepi jalan, parit dan sungai mengeruhkan lagi keadaan apabila air sukar mengalir lalu menyebabkan banjir tidak surut,” katanya.

Sehingga kini, 105 mangsa daripada 27 keluarga masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan Dewan Perda Timur yang sebelum ini menempatkan 33 orang daripada enam keluarga sudah ditutup dan semua mangsa banjir di benarkan pulang ke rumah.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang menasihatkan semua penduduk berjaga-jaga dengan fenomena air pasang dan hujan lebat termasuk mengambil langkah menjaga alam sekitar khususnya kawasan sungai serta perparitan.

Taburan hujan tinggi iaitu melebihi 100 milimeter (mm) di Lembangan Sungai Juru dan Sungai Junjung menyebabkan 47 kawasan di situ terjejas akibat banjir kilat.

Difahamkan, kawasan taman rimba Cheruk Tokun turut terjejas apabila kawasan pembaikan cerun dikatakan terdapat kejadian tanah runtuh namun keadaan masih terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:10 PM