BANJIR berikutan hujan lebat sejak pagi. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Sabran Md Sani


SELEPAS Batu Pahat mengalami ribut semalam, kini beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru pula banjir susulan hujan lebat sejak pagi hari ini.

Antara kawasan terjejas termasuk Kempas Baru di Kempas; Kampung Pulai dan Ulu Pulai yang dinaiki air sehingga 1.5 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, sepasukan anggota diketuai Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Suraini Adnan dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.19 tengah hari.

“Kampung Pulai dan Kampung Ulu Pulai dinaiki air 1.5 meter dan dijangka terus meningkat kerana air pasang.

“Manakala operasi pemindahan mangsa dijalankan dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang kampung,” katanya.

Terdahulu, warganet berkongsi pelbagai gambar banjir di sekitar bandar raya itu termasuk menunjukkan mereka dipindahkan pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:10 PM