Mangsa maut selepas melanggar kera yang melintas jalan. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


PENUNGGANG motosikal maut selepas melanggar kera yang melintas jalan di Kilometer (km) 23.6 Jalan Bestari Jaya-Tanjung Malim di Hulu Selangor hari ini.

Dalam kejadian berhampiran Sungai Tengi Selatan 1.30 tengah hari itu, Nasir Alias, 57, yang menunggang motosikal Modenas Kriss maut di lokasi akibat parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Tanjung Malim menghala ke rumahnya di Sungai Tengi Selatan.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, seekor kera tiba-tiba melintas jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan itu.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terjatuh di jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa maut di lokasi dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:46 PM