ABDUL Hamid menjawab soalan media selepas Majlis Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hidayatul Akmal Ahmad


KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta keluarga tahanan yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bersabar sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan terhadap 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan daripada DAP yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Pasukan penyiasat sedang mempercepatkan siasatan supaya kertas siasatan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya sama ada menolak kes atau mendakwa di mahkamah, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tan Sri Khalid di Pulapol, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga tahanan yang akan menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi.

Abdul Hamid turut menasihatkan keluarga supaya bersabar dan memberi jaminan keadaan tahanan adalah baik.

“Saya bersimpati perayaan Deepavali semakin hampir tapi tindakan pihak saya adalah untuk keperluan kepentingan dan keselamatan... bagi keluarga yang masih tidak berpuas hati, mohon bersabar.

“Saya jamin keadaan mereka sentiasa dijaga dan kami akan memberi segala hak yang dibenarkan dalam undang-undang pada keluarga untuk melawat... kita akan berikan kemudahan itu,” katanya.

Sejak semalam, beberapa ahli keluarga tahanan berhimpun di hadapan Bukit Aman sebagai protes dan menggesa polis untuk membebaskan mereka bagi menyambut perayaan Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:08 AM