MANGSA disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
hmdigital

SEORANG lelaki terbunuh selepas ditembak menggunakan senjata api bakakuk ketika menghadiri majlis hari lahir ahli keluarganya, di Kampung Linayukan Tongod, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan menghadiri majlis hari jadi yang turut dihadiri suspek sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka.

Difahamkan, kedua-dua lelaki bersama ahli keluarga lain meraikan sambutan majlis sambil meminum minuman keras sehingga mabuk.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek.

Katanya, suspek berusia 40-an dikatakan pulang ke rumah sebelum datang kembali ke majlis berkenaan jam 9 malam dengan membawa selaras senapang bakakuk.

“Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke udara. Mangsa pula dikatakan mengambil tukul sebelum meluru ke arah suspek.

“Suspek kemudian melepaskan satu lagi das tembakan ke arah mangsa sehingga menyebabkannya rebah di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, bapa mangsa yang menyaksikan kejadian terus berlari ke arah suspek namun lelaki itu terus mencampakkan senapang bakakuk sebelum melarikan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk proses bedah siasat.

“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan giat dilakukan. Polis juga sudah menemui senapang bakakuk disyaki digunakan suspek ketika kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:00 AM