SAIFUDDIN (dua dari kanan) bersama Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Izani Wan Ishak (dua dari kiri) meneliti isi kandungan Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2019-2023.
Siti A’isyah Sukaimi


BUKAN sahaja memastikan mereka yang layak menerima tidak tercicir daripada senarai data, malah mereka yang tidak layak turut bersikap jujur supaya dibatalkan nama daripada senarai penerima.

Itu yang dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung portal rasmi Program Subsidi Petrol (PSP) diwujudkan kementeriannya (KPDNHEP) bagi semakan kelayakan orang ramai.

Katanya, pihaknya ada menerima permintaan supaya nama dikeluarkan daripada senarai penerima kerana disifatkan tidak layak berdasarkan pendapatan yang diperoleh.

“Ada yang minta dikeluarkan (daripada senarai) dan dia memaklumkan ibunya di kampung memasukkan namanya sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Dia semak dan ada namanya, tetapi gaji diterima lebih dan dia memohon keluar daripada senarai PSP. Ada juga rakyat Malaysia (jujur) macam itu,” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan KPDNHEP dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP KPDNHEP) 2019-2023 dan Pelancaran Sistem mySAFE di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha mewujudkan portal rasmi berkenaan mencapai matlamat dan empat hari pertama ia dibuka, kira-kira 1.7 juta pelawat melayari laman berkenaan.

“Tujuan mewujudkan portal ini betul-betul tercapai dengan adanya senarai masuk bagi mereka yang layak, tetapi tercicir serta yang keluar bagi mereka tak layak, tetapi nama berada di dalam data.

“Itu kebaikannya dan angka yang melawat portal berkenaan juga terus meningkat,” katanya.

Media melaporkan, 2.9 juta penerima BSH daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan PSP boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal psp.kpdnhep.gov.my bermula 15 Oktober lalu.

Data penerima PSP daripada golongan B40 itu berdasarkan data asas penerima BSH yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan dan ia diulang semak dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berhubung OACP KPDNHEP 2019-2023, beliau berkata, KPDNHEP menjadi kementerian pertama mewujudkan pelan itu dalam usaha memerangi rasuah di peringkat organisasi terbabit.

Katanya, pelan itu bagi memenuhi kehendak dalam Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Januari lalu.

“Ia terhasil daripada kerjasama pegawai kanan kementerian termasuk menteri dan timbalan menteri dengan bimbingan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah, Jabatan Perdana Menteri, Institut Integriti Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Menerusi OACP KPDNHEP 2019-2023, ia memberi fokus kepada empat bidang keutamaan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perolehan awam serta tadbir urus terbaik dan berintegriti tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:05 AM