ZAINOL (dua dari kiri) menunjukkan barangan rampasan termasuk parang selepas menahan lima lelaki warga Indonesia dipercayai terbabit dengan 13 kes pecah rumah serta samun di IPK Pulau Pinang, semalam.
Hadzlihady Hassan


“YOU steady...kami steady, kami cuma mahu wang saja.”

Itu kata-kata yang kerap diucap Geng Rantau kepada setiap mangsa ketika melakukan samun dan pecah rumah sekitar Timur Laut dan Barat Daya sejak awal tahun lalu.

Ungkapan itu diucapkan sebagai tanda amaran kepada setiap mangsa supaya mereka tidak melawan dan memberi kerjasama ketika suspek menyamun.

Bagaimanapun, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah, semua lima ahli Geng Rantau berusia 29 hingga 56 tahun itu ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan negeri ini, kelmarin.

Menurutnya, dalam Op Rantau Steady yang dilancarkan itu, tiga daripada suspek ditahan di Terminal Bas Hentian Duta jam 2 pagi manakala dua lagi ditahan di kawasan hutan di Bukit Gambir jam 5.45 pagi.

“Suspek yang ditahan di terminal bas ketika itu dalam perjalanan menuju Johor dan mereka dipercayai mahu pulang ke negara asal.

“Manakala dua suspek lain dengan seorang daripadanya dalang utama berusia 56 tahun bersembunyi dalam hutan untuk merancang kegiatan jenayah mereka,” katanya.

Menurutnya, dalang utama geng ini juga dianggap licik kerana dia meloloskan diri ketika polis melakukan serbuan dalam kejadian samun di Bayan Lepas pada 2017.

“Siasatan mendapati kumpulan terbabit menyasarkan kawasan perumahan di pinggir hutan dan mereka bersembunyi di kawasan bukit sebelum melakukan pecah rumah dan samun.

“Suspek yang bersenjatakan parang, pisau dan sabit biasanya melakukan jenayah bermula jam 3 hingga 5 pagi dengan memecah masuk rumah, mengikat mangsa dan melarikan barang berharga,” katanya.

Zainol berkata, dalam serbuan itu juga pihakya merampas pelbagai barang hasil samun antaranya 20 telefon bimbit dan tablet, pelbagai pakaian serta beg berjenama, jam tangan, cermin mata, barang kemas dan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:15 AM