KENDERAAN dipandu warga Australia yang remuk selepas merempuh belakang lori. FOTO IHSAN PDRM
Adnan Ibrahim


SEORANG lelaki warga Australia maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex merempuh belakang lori di Kilometer (KM) 72.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan kira-kira jam 9.25 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian 9.25 malam itu mengakibatkan Chatnam Brendan Joseph, 32, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada tubuh.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa memandu berseorangan dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori muatan kayu keluar dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Machap dan menyusuri laluan kiri.

“Mangsa yang berada di belakang cuba mengelak ke kiri jalan, namun melanggar bahagian belakang lori menyebabkannya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Menurut Mohd Abduh, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diharap tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.29 malam.

Katanya, sembilan anggota bomba dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba, bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan jam 11.03 malam,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:03 AM