Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


MAJISTRET direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan tertuduh yang melakukan kesalahan menyeludup rokok.

Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan pada 11.20 pagi, hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika ditemui di perkarangan mahkamah mengesahkan penahanan dan proses reman suspek, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu menurut sumber, suspek pada mulanya dikatakan meminta suapan sebanyak RM120,000 daripada tertuduh sebagai balasan untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

“Tertuduh mempunyai dua pertuduhan berhubung kesalahan menyeludup rokok dan dia sudah memberi wang sebanyak RM85,000 kepada suspek sebelum ini.

“Tertuduh memberi lagi wang RM25,000 semalam, namun suspek meminta lagi wang RM50,000 kononnya untuk membantunya berhubung kes itu yang akan disebut pada bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:55 PM