Skip this ad x
MANGSA, Siti Nur Hidayah Zamri, 11, yang dijumpai rentung dalam kebakaran di Jalan Peninsula, Pulau Melayu. FOTO Ihsan Pembaca


“KAMI tidak sempat selamatkan Siti kerana api marak dengan cepat,” kata Hamidah Puni, ibu kepada Siti Nur Hidayah Zamri yang dijumpai rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Peninsula, Kampung Pulau Melayu, Miri, hari ini.

Menurut Hamidah, 34, dia menyedari kebakaran itu selepas terdengar bunyi letupan.

“Apabila tersedar, saya terus menjenguk ke luar dan terkejut melihat api di rumah ayah saya.

“Disebabkan api marak dengan cepat, kami tidak sempat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan anak saya,” katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Siti, 11, yang juga anak ketiga daripada empat beradik tidur di rumah datuknya yang terletak sembilan meter daripada rumah keluarganya.

Hamidah yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, dia reda dengan dugaan dan ujian yang menimpa keluarganya.

“Saya tidak tahu nak cakap apa. Nasib api tidak merebak ke rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.17 pagi sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, rumah berkenaan didapati sudah musnah sepenuhnya dijilat api. Operasi ditamatkan pada 6.25 pagi tadi selepas api berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya.

Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:39 PM