KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun, Muhamad Najwan Faiz Mohamad Nasron putus jari kelingking kiri selepas tersangkut pada jeriji besi di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, dekat Gua Musang, Jumaat lalu. FOTO Ihsan keluarga mangsa
Ramli Ibrahim


KANAK-KANAK lelaki putus jari kelingking kiri selepas tersangkut pada jeriji besi di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, dekat Gua Musang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa Muhamad Najwan Faiz Mohamad Nasron, 7, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pembedahan untuk menyambung semula jari kanak-kanak itu gagal.

Kakaknya, Noraznira, 28, berkata, sebelum kejadian adiknya memanjat pintu jeriji besi di hadapan rumahnya.

Katanya, bagaimanapun ketika cuba turun semula, jarinya tersangkut pada jeriji besi itu.

“Ketika itu saya terdengar suara adik menangis dan menjerit kesakitan dalam keadaan jarinya berlumuran darah.

“Kami menemui jari yang terputus di jeriji besi dan terus membawa adik ke klinik berhampiran sebelum terus dirujuk ke HUSM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pada hari sama pembedahan untuk menyambung jari itu terus dijalankan namun gagal.

“Kini, adik dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di HUSM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:51 PM