DAWAM (empat dari kiri) menyerahkan alat pengesan gas kepada Pengetua SMK Dato' Penggawa Timur, Hasnah Yussof di Pasir Gudang, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

MALAYSIA Marine and Heavy Engineering Holding Berhad (MHB) membuktikan tanggungjawab sosial (CSR) apabila menyerahkan alat pengesan gas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Timur di Masai di sini, semalam.

Pengurus Besar Kualiti Kesihatan, Keselamatan dan Persekitarannya, Dawam Ibrahim berkata, pemberian alat itu bertujuan membantu sekolah angkat syarikat itu mengesan kehadiran gas di persekitaran.

Katanya, syarikat itu diarahkan untuk menjadikan sekolah di Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran udara Sungai Kim Kim pada Mac lalu sebagai sekolah angkat.

“Syarikat diminta menyediakan alat pengesan gas untuk mengukur bacaan udara kepada sekolah angkat dan ia tertunai dengan penyerahannya hari ini (semalam).

“Diharap alat ini membantu sekolah untuk memantau udara di persekitarannya,” katanya pada Majlis Perasmian ‘MHB Go Green’ dan Penyerahan Alat Pengesan Gas di SMK Dato’ Penggawa Timur semalam.

Katanya, dia mahu pelajar dan warga sekolah angkat syarikat itu menerima manfaat daripada program CSR terbabit.

“Bahkan penganjuran program Go Green bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung cara menyelesaikan isu alam sekitar.

“Fokus diberikan kepada isu udara, air dan pengurusan sisa dengan mendapatkan kerjasama aktif daripada pelajar dan keluarga mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:10 AM