KEADAAN api yang marak ketika kebakaran di masjid Kampung Lada, semalam.

TINDAKAN pantas seorang penduduk pergi melihat apa yang berlaku di kawasan masjid apabila terdengar bunyi letupan kecil menyelamatkan Masjid Kampung Lada, dekat sini, musnah dalam kebakaran.

Syed Mohamad Fakharuddin Syed Yusof, 52, berkata, dia ketika itu berada dirumahnya sedang membaiki motosikal dan rumahnya terletak bersebelahan masjid.

“Pada jam 10.15 pagi, saya terdengar bunyi letupan kuat seperi mercun berkali-kali di kawasan masjid, tetapi tidak nampak apa-apa kerana terlindung oleh bangunan dewan.

“Saya mengambil keputusan melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila api marak di bahagian kotak meter,” katanya.

Katanya, beliau terus berlari ke kawasan jalan untuk memanggil orang kampung dan menghubungi balai bomba.


SYED Mohamad Fakharuddin menunjukkan kotak suis yang terbakar.

Beliau berkata, mereka cuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api kerana api marak terlalu cepat kerana masjid itu diperbuat daripada kayu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lada, Mazan Malek, 65, berkata, tindakan pantas penduduk kampung dan ahli bomba sukarela kampung itu berjaya mengawal api daripada merebak di bahagian lantai masjid.

Katanya, apabila bomba sampai api yang marak di bahagian siling dan bumbung dipadamkan sepenuhnya.

Beliau berkata, masjid yang dibina dengan kayu sepenuhnya pada 1979 dipercayai terbakar akibat litar pintas yang terletak di beranda masjid sebelum merebak ke bahagian dalam masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:15 AM