Skip this ad x
PERALATAN yang digunakan oleh sindiket berkenaan. FOTO IHsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA puluh enam individu termasuk dua wanita warga China yang terbabit dengan kegiatan judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah banglo dua tingkat di Jalan Kuda Emas 2, di Seri Kembangan, malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, hasil maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan serbuan di lokasi terbabit, kira-kira 11 malam.

“Hasil serbuan itu, kami menahan 26 individu warga China termasuk dua wanita berusia antara 16 hingga 42 tahun yang berasal dari daerah Jianxi, China.

“Kami turut merampas sembilan komputer, tiga komputer riba, 28 telefon bimbit, tiga ‘router’ dan tiga modem,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata, sindiket berkenaan menjalankan aktiviti pertaruhan dan mempromosikan kegiatan judi dalam talian serta loteri awam di China menggunakan aplikasi WeChat dan Tik Tok.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pertaruhan judi dalam talian dengan memperdayakan sasaran dari China bahawa permainan terbabit mudah dimain dan peluang menang adalah tinggi melalui penggunaan aplikasi Tik Tok.

“Sindiket ini sudah beroperasi hampir tiga bulan dan premis hanya digunakan untuk tujuan transaksi perjudian yang dipercayai dari China sahaja dengan menggunakan mata wang Yuan,” katanya.

Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik dan pakar judi juga hadir di lokasi serbuan bagi membuat analisa terhadap barangan yang ditemui.

“Semua individu yang ditahan dan barang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sekyen 4(1)(c) akta sama dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:48 AM