ANTARA mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Taman PPR Taman Tok Subuh, Seberang Perai Selatan, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Rosli Ahmad
BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di Perak, pagi ini, yang masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih kekal 308 orang daripada 79 keluarga.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, setakat 7.30 pagi ini, mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan di daerah Hilir Perak, masih kekal seramai 231 orang membabitkan 61 keluarga.

“Sementara itu, mangsa banjir di daerah Kerian yang ditempatkan di SK Changkat Lobak di Selama pula, menempatkan 77 orang daripada 18 keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, di Pulau Pinang, 104 mangsa banjir daripada 33 keluarga di Bukit Mertajam

masih ditempatkan di dua PPS di daerah itu sehingga pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS itu sehingga 4 pagi hari ini.

“Seramai 73 orang daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, manakala di PPS Tadika Kemas Kampung Manggis masih menempatkan lapan keluarga dengan 31 orang,” katanya, pagi ini.

Katanya, keadaan cuaca cerah pagi ini dan kemungkinan lebih ramai mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:25 AM