ANTARA kawasan terjejas banjir di Kampung Paya Embon, Pekan Nanas, Pontian, semalam. FOTO Togi Marzuki.
BERNAMA

SERAMAI 435 mangsa dari 100 keluarga di dua daerah masih terjejas akibat banjir di Johor, setakat 8 pagi ini.

Jumlah mangsa banjir sedikit menurun berbanding 641 orang dari 141 keluarga di tiga daerah yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa di daerah Pontian dan Batu Pahat itu kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

“Tujuh PPS itu ialah Madrasah Parit Basilam, SK Sri Bukit Panjang, Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, SK Kampung Parit Hj Adnan dan SK Sri Bunian di Pontian; manakala di Batu Pahat pula, terdapat dua PPS iaitu SK Sungai Kajang yang dibuka akibat ribut dan Dewan Orang Ramai Tongkang Pecah,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penurunan jumlah mangsa berbanding semalam juga selepas sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pulai, Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri, ditutup pada 11.59 malam tadi.

Sebelum ini, PPS itu menempatkan seramai 242 orang dari 50 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:44 AM