KEADAAN sekitar SK Kampung Nyalau yang dinaiki air. FOTO Ihsan JBNS
BERNAMA

SERAMAI 171 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nyalau, Bintulu, tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini, selepas jalan masuk ke kawasan sekolah berkenaan dinaiki air, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedi dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak berkata, berdasarkan laporan diterima dari Jabatan Pendidikan Sarawak, ibu bapa tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah kerana jalan masuk tidak dapat dilalui akibat banjir dan keadaan yang amat berbahaya.

“Kelas ditangguh untuk hari ini, namun guru serta kakitangan pentadbiran masih berada di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

SK Kampung Nyalau mempunyai seramai 171 murid, 15 guru dan tiga kakitangan pentadbiran.

Ismail berkata, paras air sudah mulai naik secara perlahan sejak petang semalam di kawasan kuarters guru besar, kuarters kakitangan pentadbiran, blok akademik dan blok pentadbiran.

“Guru serta kakitangan pentadbiran dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:28 AM