MOHD Khuzzan melepaskan peserta Program Konvoi Kesihatan 'Sayangi Anak Kita, Jauhi Dadah dan Rokok' di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. FOTO MOHD SABRAN MD SANI
Mohd Sabran Md Sani


MURID bawah 12 tahun terjebak dadah. Itu pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berhubung trend penagihan membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.

Katanya, perkara itu didedahkan salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Kulai yang positif ujian saringan air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), baru-baru ini.

Katanya, hasil soal siasat dilakukan remaja itu mengakui terjebak dadah seawal usia 12 tahun.

“Kita khuatir sekarang ini dengan media sosial tanpa sempadan, anak bawah 12 tahun pun ada yang terbabit dadah.

“Kita pernah dapat (kes pelajar terbabit dadah) di Kulai (ketika ujian saringan air kencing).

“Di mana (hasil pemeriksaan) murid di bawah 12 tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Konvoi Kesihatan ‘Sayangi Anak Kita, Jauhi Dadah dan Rokok’ di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Dr Azli Ahmad dan Pengerusi Kesatuan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Johor, Mohd Razul Tulos.

Program berkonsepkan konvoi kereta dan motosikal disertai 60 peserta dalam kalangan ahli PEMADAM, Jabatan Kesihatan, AADK Johor dan Sukarelawan Belia.

Katanya, tindakan mendampingi remaja itu sedang dilakukan termasuk memberi kaunseling daripada pelbagai agensi.

Mengulas lanjut katanya, kesibukan ibu bapa bekerja menjadi punca pelajar terjebak dengan penagihan dadah.

“Ibu bapa ketika ini sibuk bekerja dan tumpuan sepenuhnya tidak dapat diberikan kepada anak-anak.

“Apa yang berlaku anak-anak ini cuba mencari tumpuan di luar, selain menggunakan platform media sosial untuk terjebak dalam perkara negatif,” katanya.

Katanya, besar harapannya supaya ibu bapa meluangkan banyak masa cuti hujung minggu bersama anak yang dahagakan belaian kasih sayang.

Sementara itu katanya, program konvoi julung kali dianjurkan bertujuan mencetuskan kesedaran masyarakat mengenai perlunya menjauhi dadah dan rokok demi kesihatan dan kehidupan masa depan anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:32 AM