Zuhainy Zulkiffli


PENYU tempayan atau ‘longgerhead’ yang diselamatkan nelayan pada 7 September lalu dilepaskan semula ke laut di Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul, Georgetown, hari ini.

Acara melepaskan penyu betina seberat 60 kilogram dengan panjang 111 sentimeter (sm) dan ukur lebar kepala 17 sm itu dilakukan bersama Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan orang awam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, penyu jenis Caretta caretta berkenaan adalah yang kedua ditemui mendarat di Malaysia dan pertama di perairan Semenanjung.

Katanya, proses menyelamatkan hidupan itu turut membabitkan Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Terengganu dan didapati ia bukan berasal dari Malaysia sebaliknya banyak terdapat di Timur Australia dan Jepun.

Malah spesis ini juga didapati berasal dari lautan Atlantik, Pasifik, India dan Mediterranean serta diisytiharkan di peringkat antarabangsa sebagai spesis terancam.

“Ketika diselamatkan, penyu itu didapati mengalami sedikit kecederaan dan tekanan mungkin akibat mahu melepaskan diri daripada pukat.

“Penyu terbabit kemudian dihantar ke Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) oleh Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber di Jabatan Perikanan Negeri untuk rawatan sehingga ia kembali pulih.

“Lokasi ini dipilih berikutan ia dekat dengan Pulau Kendi yang juga berhampiran tempat ia diselamatkan,” katanya ketika ditemui, di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, penyu berkenaan ditemui tersangkut di pukat hantu pada jarak kira-kira 500 meter daripada Pulau Kendi.

Sejurus dilepaskan daripada perangkap pukat, nelayan terbabit yang dikenali sebagai Ang Ta Lim, 46, mendapati penyu itu tidak boleh berenang serta sangat lemah lalu menghubungi Jabatan Perikanan Negeri.

Mengulas lanjut, Noraisyah berkata, tindakan lelaki itu wajar dipuji dan berharap dapat diteladani orang awam khususnya nelayan.

Katanya, kemungkinan penyu berkenaan melalui perairan Pulau Kendi sebagai laluan migrasi dan terdapat makanan di situ.

“Sejak tahun 2008 hingga 2018, sebanyak 173 unit tukun tiruan dilabuhkan pihak Jabatan Perikanan Negeri di sekitar pulau berkenaan dan nelayan juga turut melaporkan penambahan jumlah tangkapan ikan di kawasan itu.

“Nelayan dan pemancing juga kerap terserempak dengan penyu pelbagai spesis termasuk belimbing berikutan tukun yang dilabuhkan dapat meningkatkan sumber perikanan,” katanya lagi.

Pulau Pinang juga mempunyai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pantai Kerachut, Teluk Bahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:44 AM
ORANG ramai melihat penyu spesis Loggerhead atau dikenali sebagai Penyu Tempayan yang dilepaskan di pantai Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul. Penyu betina seberat lebih 60 kilogram (kg) itu yang pertama kali ditemui di perairan Semenanjung, selepas ia ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi pada 7 September lalu. FOTO Danial Saad