Muhammad Apendy Issahak


SEORANG duda dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku salah mencabul seorang nenek berusia 90 tahun di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini.

Tertuduh Zawari Osman, 55, didakwa melakukan kesalahan itu kelmarin (Selasa) terhadap wanita warga emas di rumah mangsa di Kampung Karai, kira-kira 8.30 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Zawari membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia adalah kesalahan sama kali kedua dilakukannya dan mangsa terbabit adalah warga emas.

Zawari menolak menerima bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ketika rayuan dan memilih mewakili diri sendiri bagi merayu meringankan hukuman.

Norhabsarina kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun bermula hari ini selepas mengambil kira kesalahan sama pernah tertuduh lakukan dua tahun lalu terhadap seorang wanita juga warga emas berusia 65 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh terselamat daripada hukuman kerana sudah berusia 55 tahun mengikut Seksyen 289 (c) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) 2007.

Difahamkan tertuduh mengaku salah ketika kesalahan pertama dilakukan dua tahun lalu dan dihukum penjara 12 bulan serta sebelum hukuman dijatuhkan, dia turut diarah menjalani pemeriksaan mental, namun difahamkan tertuduh tidak mempunyai masalah kesihatan mental.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memasuki rumah ketika mangsa sedang baring di atas katil di ruang tamu sebelum bertindak mencabul mangsa yang berbaring di atas katil sebelum kejadian disedari cucu warga emas terbabit.

Tertuduh kemudian melarikan diri sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu dan berjaya ditahan polis.

Terdahulu sebelum prosiding, lelaki terbabit turut terkencing dalam seluar ketika berada di kandang tertuduh menyebabkan pekerja mahkamah terpaksa membersihkannya.

Malah, ketika pendakwaan dijalankan, tertuduh juga membuat kecoh apabila beberapa kali ditegur majistret kerana tidak mahu berdiri selain cuba memanjat keluar kandang tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:21 PM
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara empat tahun di Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas mengaku salah mencabul nenek berusia 90 tahun. FOTO ABDULLAH YUSOF