MURID Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Muallim, Alyaa Hana Abd Hadi, 8, maut manakala bapanya cedera selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 375.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


“ALYAA Hana murid yang ceria serta mudah mesra dan pemergiannya pasti dirindui rakan dan guru,” kata Ustaz Zulfadli Zainal.

Tenaga pengajar Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam (SRITI) Muallim, di Slim River itu adalah guru kepada Alyaa Hana Abd Hadi, 8, murid sekolah berkenaan yang maut akibat kemalangan di Kilometer 375.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, hari ini.

Ustaz Zulfadli, 35, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan sekerja memaklumkan Alyaa Hana terbabit kemalangan dan di hantar ke Hospital Slim River.

Menurutnya, dia kemudian ke hospital berkenaan untuk melihat keadaan anak muridnya itu yang sebelum ini sentiasa ceria ketika berada di dalam kelas.

“Sayu rasanya apabila tiba di hospital, beberapa minit kemudian kami dimaklumkan Alyaa Hana sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya berjumpanya kelmarin (Selasa) semasa mengajarnya dan ketika itu dia kelihatan ceria seperti biasa dan gembira bersama rakan sekelas serta tidak menunjukkan perubahan pelik,” katanya ketika ditemui di SRITI Muallim, hari ini.

Menurutnya, kelas Alyaaa Hana bermula dari 7.30 pagi hingga 4 petang.

“Dua beranak itu menetap di Taman Wangsa Behrang, dekat sini dan dipercayai ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke sekolah.

“Saya juga mengenali bapa Alyaa Hana iaitu Abd Hadi Isa, 33, yang setiap hari menghantarnya ke sekolah sebelum meneruskan perjalanan untuk mengajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) FELDA Trolak,” katanya.

Ustaz Zulfadli berkata, arwah adalah murid yang patuh kepada guru dan suka menghafal al-Quran di dalam kelas menyebabkan dia disenangi oleh semua guru di sekolah berkenaan.

Katanya, pemergiannya juga satu kehilangan besar buat sekolah itu kerana dia bukan sahaja rajin tetapi suka membantu rakan lain dalam mengulangkaji pelajaran agama.

“Sedih bila mengenangkan kami tidak dapat lagi melihat keletahnya, namun Tuhan lebih menyayangi anak kecil itu,” katanya yang memaklumkan murid berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Behrang 2020.

Berita berkaitan:

  • Anak maut, bapa cedera motosikal dihimpit SUV
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 4:59 PM