CIAPAN Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di twitter milik Zulkifli. FOTO IHSAN PEMBACA


“NANTI saya hadiahkan t-shirt bola kepada Dato OK... Dato team mana?” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berkenan mencemar duli memberi reaksi ciapan twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan hadiah jersi Liverpool diterimanya, hari ini.

Ia kemudiannya disambut dengan rendah hati oleh Zulkifli dengan mengatakan beliau memang meminati pasukan Liverpool dan Brazil.

“Ampun Tuanku. Junjung kasih kesudian mencemar duli ke ciapan patik dan ingin tahu pasukan patik. Patik minat Liverpool dan Brazil.

“Patik maklum KBDYMM Tuanku minat Arsenal dan berbesar hati menerima apa jua kurnia Tuanku seumpama jersi Arsenal, Pahang (rumpun Pantai Timur) atau JDT (Johor Darul Ta’zim),” katanya.

Terdahulu, mufti itu membuat ciapan bersama foto mengenai hadiah jersi pasukan kegemarannya, Liverpool yang diterima daripada pasangan suami isteri.

Beliau berbesar hati menerima hadiah itu, malah menganggapnya lain daripada lain.

“Kebiasaannya, pasangan yang datang membawa bayi mereka untuk ditahnik akan membawa cenderahati untuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Cuma, cenderahati kali ini agak unik dan cukup sesuai dengan jiwa saya. Terima kasih ya!,” kongsi beliau di laman sosialnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:06 PM