Omar (dua dari kiri) bersama Mohd Haris (kiri) menunjukkan syabu seberat 5,066.83 gram berjaya dirampas di Penampang. FOTO Edmund Samunting.
Omar (dua dari kiri) bersama Mohd Haris (kiri) menunjukkan syabu seberat 5,066.83 gram berjaya dirampas di Penampang. FOTO Edmund Samunting.
Fardy Bungga


JARANG dibuat tapi itu yang sanggup dilakukan seorang penghantar makanan demi membawa masuk sejumlah syabu seberat 5,066.83 gram.

Lelaki berusia 21 tahun itu mengirim dadah menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung kepada dirinya sendiri di Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, tindakannya hanya mengundang padah apabila berjaya dikesan pihak berkuasa dan dia ditahan berhampiran pejabat syarikat kurier berkenaan ketika mengambil bungkusan itu pada 12 tengah hari semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ketika ditahan suspek membawa lima bungkusan plastik kurier yang masing-masing mengandungi dua tin coklat.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam tin coklat itu membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik berisi ketulan hablur lutsinar yang disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah itu daripada seorang lelaki tempatan di Semenanjung dan dia cuba menyeludup masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier.

“Semua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran Penampang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, semua rampasan dianggarkan bernilai RM250,000 dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:27 PM