DALBIR (tengah) dan Maidu (dua dari kiri) bersama dadah yang dilupuskan di Kepala Batas, semalam.
Shamsul Munir Safini


SINDIKET syabu didalangi lelaki warga tempatan yang menyimpan lebih 689 butir peluru dan dua bom tangan sebelum ditemui polis, Ahad lalu berjaya dilumpuhkan sepenuhnya.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Maidu Abu Bakar berkata, penemuan bahan letupan di pangsapuri di Bukit Dumbar itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun, Oktober tahun lalu sebelum sindiket didalanginya berjaya dilumpuhkan.

Semua siasatan membabitkan bom dan peluru itu diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Sementara itu, Maidu berkata, pihaknya juga kecewa dengan segelintir individu yang cuba menafikan dan mempersoalkan kejayaan polis dalam membuat rampasan dadah dan terbaru membabitkan penemuan tiga kontena arang batu yang dicampur kokain.

Menurut beliau, jumlah berat kokain yang dicampur dalam arang batu itu adalah anggaran kasar yang diberikan Jabatan Kimia Malaysia selepas melalui beberapa proses.

“Tidak timbul cubaan polis untuk menipu dan mengaburi mata orang ramai mengenai kejayaan pihak berkuasa.

“Ia disahkan pihak berwajib dan kejayaan rampasan itu disampaikan sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya yang ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Stor Berpusat Kontinjen (SBK) Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan beberapa individu dalam politik yang mempertikaikan kejayaan polis merampas tiga kontena berisi kokain yang dicampur dengan arang batu, September lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Penolong Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Bukit Aman, Asisten Komisioner Dalbir Singh Tanah Singh berkata, pihaknya membuat penyerahan barang kes dadah untuk pelupusan kepada Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, JSJN Pulau Pinang merampas sejumlah RM342 juta dadah terdiri daripada kokain, heroin, syabu, ekstasi, pil kuda, ketamin, eramin dan ganja.

“Hari ini (semalam), kami menyerahkan semua dadah yang dirampas dalam lima kes tahun lalu dan sudah selesai di mahkamah membabitkan jumlah RM9.6 juta.

“Barangan yang diserahkan ialah heroin sebanyak 14,061 kilogram (kg), ganja (28kg), methamphetamine (185,851kg),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:00 AM