ROSZAIDAH di samping anaknya, Mohd Syafiq di PPS SK Parit Haji Adnan, Pontian, semalam.
Togi Marzuki


“KALAU orang lain sibuk menyelamatkan harta benda, kami sekeluarga pula hanya memikirkan keselamatan anak sulung, Mohd Syafiq Amirul, 23.

“Dia terlantar akibat terbabit kemalangan jalan raya dua tahun lalu,” kata Roszaidah Jaafar, 50, mangsa banjir dari Kampung Paya Embun, Pekan Nanas.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia bersama suami, Mohd Azli Othman Ng Abdullah, 52, dan seorang lagi anak mereka terpaksa memapah Mohd Syafiq ke tempat lebih tinggi selepas kampung mereka dilanda banjir.

Katanya, mereka bernasib baik kerana dibantu oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ketika itu terbabit dalam operasi memindahkan mangsa banjir.

Roszaidah berkata, mereka sekeluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Adnan, di sini, sejak jam 5.30 petang, Selasa lalu.

“Ketika banjir melanda kami anak-beranak berada dalam rumah. Memang kami tak sangka hujan bermula sejak Subuh dan berlarutan hingga petang mengakibatkan sebahagian kampung kami ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa banjir, Mohammad Hafiz Abdullah, 29, berterima kasih kepada semua pihak membantunya dan penduduk lain ketika berpindah ke PPS.

“Banjir dianggap luar biasa kali ini turut menyebabkan penduduk kerugian besar berikutan banyak tanaman diusahakan rosak,” katanya.

Di samping itu, Ketua Kampung Kawasan (4) Mukim Pontian, Azmi Jaafar berkata, lokasi yang terjejas dinaiki air hingga enam meter.

“Antara kawasan terjejas adalah Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Raya di kaki Gunung Pulai. Banjir berpunca daripada limpahan beberapa sungai berhampiran dan aliran air dari Gunung Pulai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:15 AM