Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Johor semakin berkurangan. FOTO Ihsan APM


CUACA baik sepanjang hari bermula semalam menyaksikan jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus mencatat penurunan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, hanya empat PPS masih dibuka bagi menempatkan 214 mangsa banjir daripada 49 keluarga berbanding 386 mangsa daripada 89 keluarga semalam.

Katanya, hanya dua PPS di Pontian dan dua di Batu Pahat masih dibuka berikutan cuaca baik sepanjang hari bermula semalam.

“Kawasan yang masih terjejas di Pontian akibat banjir adalah Kampung Maju Jaya, Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang.

“Semua 159 mangsa membabitkan 36 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Adnan dan SK Seri Bukit Panjang.

“55 mangsa daripada 13 keluarga membabitkan mangsa ribut dan banjir masih ditempatkan di PPS SK Sungai Kajang dan SK Seri Binjai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 4:16 PM