BERNAMA

MALAYSIA akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat negara itu dengan lebih mudah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kedutaan itu akan ditempatkan di Jordan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada pemimpin dan wakil 120 negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Sidang Kemuncak NAM ke-18 di Baku, Azerbaijan.

“Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu, kami akan membuka kedutaan di Jordan,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berusia 94 tahun itu berkata, pembukaan kedutaan terbabit akan membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin lebih mudah, walaupun beliau mengakui bahawa Israel akan mencari jalan untuk memastikan tidak ada bantuan yang akan sampai ke Palestin.

“Saya juga ingin membawa sidang kemuncak ini untuk mengenang nasib malang saudara-saudara Palestin kita. Palestin masih diduduki oleh rejim yang kejam.

“Rejim ini terus memperluas penempatan haram di tanah yang dimiliki oleh rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, komuniti antarabangsa tidak berbuat apa-apa dan tidak dapat mengambil apa-apa tindakan walaupun Israel terus mendera Palestin.

“Malang sekali apabila pertubuhan dunia yang ditubuhkan oleh negara yang cukup berkuasa, kini menyaksikan bahawa mereka sendiri tidak mengendahkan resolusi yang dihasilkan badan dunia itu. Kini, kita lihat negara-negara lain turut berbuat demikian,” tambahnya.

Mahathir berkata, Israel sudah mengumumkan hasratnya untuk menduduki bahagian di Tebing Barat - langkah yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa di samping menuntut Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

“Banyak negara-negara barat menyokong langkah ini dengan memindahkan, atau menetapkan untuk memindahkan kedutaan mereka ke sana, Malaysia tidak bersetuju dengan perkara ini,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan untuk menggesa negara-negara anggota NAM yang telah berpindah ke Baitulmuqaddis atau merancang untuk berpindah ke sana, supaya mengkaji semula keputusan itu.

Ketika ini terdapat lebih 30 pejabat diplomat dan pertubuhan antarabangsa di Ramallah serta Gaza di kawasan Palestin, dan Palestin pula ketika ini mempunyai pejabat kedutaan di Kuala Lumpur, manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir adalah khusus buat Palestin.

Dalam ucapan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak dapat menerima rampasan tanah Palestin secara terang-terangan oleh Israel untuk membina penempatan mereka, dan juga pendudukan Baitulmuqaddis oleh Israel.

Malaysia, katanya menerima pembentukan negara Israel sebagai fait accompli atau sesuatu yang sudah berlaku, namun menegaskan bahawa pembentukan itu mewujudkan permusuhan terhadap kaum muslim dan juga Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 8:25 PM
GAMBAR Arkib NSTP.
GAMBAR Arkib NSTP.